Pakej perkahwinan bernilai lebih RM280,000, wang tunai RM9,500, hamper produk AVON dan kursus perkahwinan percuma anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ini adalah sebahagian daripada hadiah menarik yang bakal dimenangi oleh pemenang Peraduan Gerbang Cinta Musim ke-2 yang dianjurkan Utusan Malaysia melalui sisipan Mega. Peraduan itu diteruskan bagi musim kedua selepas kejayaan penganjurannya pada musim pertama tahun lalu yang berjaya menarik penyertaan daripada kira-kira 10,000 pasangan bertunang dari seluruh negara. Mengekalkan nama dan konsep yang sama seperti musim pertama, objektif utama peraduan itu adalah untuk membantu bakal pengantin ke arah membina dan melayari sebuah rumah tangga yang lebih sempurna. Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid berkata, peraduan itu juga bertujuan memberi peluang kepada pasangan bertunang yang akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat untuk memenangi pakej perkahwinan lumayan. Katanya, tempat pertama peraduan itu akan membawa pulang pakej perkahwinan bernilai RM100,00 dan wang tunai RM5,000 manakala tempat kedua akan memenangi pakej perkahwinan berjumlah RM80,000 serta wang tunai RM3,000.
Pemenang ketiga dan keempat peraduan itu masing-masing akan dihadiahkan pakej perkahwinan bernilai RM50,000 berserta wang tunai RM1,000 dan RM500. Ahmad berkata, keempat-empat pemenang akan turut memenangi hamper produk AVON Cosmetics (AVON) dan kursus perkahwinan secara percuma anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Janjinya, dengan tawaran hadiah lumayan ini, impian pasangan yang memenanginya untuk meraikan majlis perkahwinan secara gilang-gemilang akan tercapai. “Hanya 100 hingga 150 pasangan yang layak daripada penyertaan yang diterima akan dipilih ke peringkat saringan untuk menghadiri satu kursus khas yang dianjurkan Jakim. “Kemudian, 50 pasangan yang berjaya pada kursus itu akan menjalani sesi temuramah dengan penganjur, Jakim dan penaja untuk menentukan sama ada mereka layak menjadi 10 pasangan peringkat akhir.
“Cerita eksklusif 10 pasangan ini akan disiarkan di dalam MEGA dan laman sesawang Utusan Online serta syokkahwin.com bagi membolehkan orang ramai mengundi pasangan paling digemari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Peraduan Gerbang Cinta Mega – Utusan Malaysia Musim Ke- 2 di Kampung Pengantin, Kuala Lumpur. Pelancaran itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Keluarga Mega, Siti Zaleha Jorimai. Peraduan Gerbang Cinta tahun ini didukung oleh penaja-penaja lama yang begitu setia seperti Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Afidah Khamis (jurusolek), T & T Boutique (busana), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan), D Sayang Entertainment (sistem bunyi), Picture Elements (fotografi) dan syokkahwin.com. Selain AVON dan Jakim penaja baru bagi tahun ini ialah Dios Astana Bridal (cenderamata), Precious Moments yang akan mengkhusus dalam pelamin dan dekorasi, Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan) dan Motion Peektures (video perkahwinan). Bagi menyertai peraduan berkenaan, setiap pasangan mestilah mengikut syarat dan peraturan yang disiarkan bersama borang penyertaan di dalam Mega mulai 9 Ogos lalu.
Sementara itu, Pelancaran Gerbang Cinta Musim Ke-2 yang dihadiri 250 tetamu meriah dengan acara-acara menarik yang disusun penganjur. Pelancaran dimulakan dengan gimik unik yang mana seorang dayang ditemani dua hulubalang naik ke pentas membawa tepak sirih dan watikah untuk dibacakan Mashitah. Sejurus watikah selesai dibacakan, sepasang model pengantin, lengkap dengan busana perkahwinan berwarna putih dan hijau sopan melangkah ke pentas diiringi paluan kompang. Kedua-dua mempelai kemudiannya duduk di pelamin yang dihias begitu indah umpama set perkahwinan sebenar. Tetamu kehormat, Mashitah dan Aziz serta wakil setiap penaja diberi peluang menepung tawar pasangan pengantin. Selesai bersanding, pengantin diarak pengapit serta tetamu kehormat untuk acara makan beradab di meja yang didekorasi dengan bunga-bungaan dan hiasan mempersonakan. Acara selesai sejurus selepas pasangan pengantin merakamkan detik indah perkahwinan dengan bergambar bersama tetamu.
PENGANTIN OLOK-OLOK PADA MALAM ITU
Recent search:
- syokkahwin com/gerbangcinta
Related posts:
- Gossip artis malaysia terkini – Musim Ketiga Gadis Melayu TV9 sumber dari syokkahwin
- Gossip artis malaysia terkini – (Gambar) Scha Alyahya dan Awal Ashaari bercuti di Bali sumber dari oh artis
- Gossip artis malaysia terkini – Dunia Baru Reunion sumber dari oh artis
- Gossip artis malaysia terkini – Tragedi Bazar Ramadhan, Jasin Melaka sumber dari syokkahwin
- Gossip artis malaysia terkini – (Gambar) Sekitar MTV World Stage 2010 Malaysia sumber dari oh artis

